“Banyak
orang yang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain
lapar, dan banyak orang yang jaga malam (beribadah pada malam hari),
tidak mendapat apa-apa daripada jaga malamnya, selain kurang tidur.” – (Hadis riwayat An-Nasa'iy, Ibnu Majah dan al-Hakim).
Mereka yang berpuasa juga hendaklah menahan nafsu keinginan dan sebarang
godaan, menahan perkataan dan perbuatan daripada perkara tercela dan
sia-sia, termasuk memelihara segala sesuatu yang boleh mengurangi nilai
puasa. Inilah pengertian sebenar puasa.
Nabi bersabda bermaksud:
“Bukanlah
puasa itu hanya kerana tidak makan dan minum, tetapi puasa itu juga
harus menahan diri daripada ucapan sia-sia dan kotor.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim).
Dalam melaksanakan puasa. kita berjuang melawan hawa nafsu, mendidik
berdisiplin tinggi dan takut melanggar segala larangan Allah walaupun
sekecil mungkin. Hal ini besar pengaruhnya dalam meninggikan
keperibadian seseorang insan.
Puasa yang dapat membina dan membangun mentaliti manusia ialah yang
dilaksanakan dengan penuh keimanan, penghayatan dan keikhlasan kepada
Allah. Puasa seperti ini yang akan mendapat ganjaran pahala besar
daripada Allah berupa penghapusan dosa seseorang. Ini sesuai dengan
sabda Nabi bermaksud:
“Siapa yang berpuasa pada Ramadan kerana iman dan penuh harap, nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu.” – (Hadis riwayat Ahmad).
Mereka yang memiliki keimanan tinggi, tentulah benar-benar berpuasa pada
siang harinya. Maksud puasa di sini tentunya puasa dalam pengertian
menyeluruh, bukan perut saja yang berpuasa. Sebaliknya semua anggota
berpuasa.
Puasa adalah ibadat yang perlu dikerjakan dengan penuh kesungguhan, demi menjamin nilai dan hikmah berpuasa itu.
Setiap Muslim perlu meyakini bahawa setiap ibadat yang Allah perintahkan
kepada hamba-Nya mengandung kebaikan dan hikmah tertentu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar